oleh 14 November 2022
Komuniti Kampung Layang-Layangan memberi penerangan kepada pelancong yang hadir melihat sarang lebah kelulut.
SHAH ALAM - Harga barangan makanan asas yang semakin meningkat menjadi satu bebanan buat rakyat Malaysia. Menyedari perkara ini, kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan pelbagai bantuan bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta kenaikan harga barangan.
Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil langkah proaktif dengan mempergiatkan Program Pertanian Bandar Wilayah Persekutuan (PPBWP) secara menyeluruh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. PPBWP yang mula dilaksanakan pada tahun 2006 di bawah Program Mampan Sejahtera Wilayah Persekutuan (LA21), adalah program berasaskan komuniti (community-based) dan menggunakan pendekatan pengupayaan komuniti (empowering community) bagi mengoptimumkan penggunaan tanah yang terhad, tanah terbiar, tanah rezab, tanah di bawah talian rentis, sekolah, institusi atau kebun-kebun komuniti sedia ada yang dinaik taraf dan ditambah nilai. Program ini dilaksanakan secara bottom-up iaitu keperluan dan kehendak daripada komuniti, pelajar, persatuan itu sendiri serta dibantu oleh agensi di bawah kementerian iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Pertanian Malaysia serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), universiti, pihak swasta serta badan bukan kerajaan (NGO). Cendawan tiram kelabu Kampung Sungai Bedaun Kos tanaman yang rendah selain mendapat permintaan tinggi menjadikan cendawan tiram kelabu sebagai pilihan untuk ditanam secara komersial. Faktor ini mendorong penduduk Kampung Sungai Bedaun, Labuan mengusahakannya dan mampu menghasilkan sebanyak lapan hingga 10 kilogram cendawan sehari. Ketua Kampung Sungai Bedaun, Rosmaini Puteh berkata, tanah seluas 0.20 hektar digunakan untuk membina rumah cendawan yang memuatkan sekitar 7,000 bongkah dan setiap bongkah dijual dengan harga RM25 sekilogram. “Cendawan tiram tidak akan tumbuh dengan jumlah yang besar dan cepat misalnya satu bongkah hanya boleh dituai sebanyak lapan hingga 10 kali sahaja. Selepas itu, kami akan cucuknya semula untuk hasilkan yang baru. Ia juga boleh tahan selama tiga hari sahaja,” katanya kepada Sinar Ahad. Baca lagi di sini. |