Freelancer

Freelance Jobs

Saturday, July 13, 2013

Rakyat disaran rebut peluang industri lebah - Ismail Sabri


ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kanan) dan Mustafa Kamal Baharuddin (tiga dari kanan) melihat kaedah mengeluarkan madu dari sarang lebah ketika melawat gerai jualan di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat, Johor, semalam. - BERNAMA

BATU PAHAT 27 Jun - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyarankan masyarakat dan usahawan tani supaya menceburi industri lebah bagi mengurangkan jumlah import madu.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat perlu merebut peluang untuk melabur dalam industri berkenaan kerana permintaannya semakin meningkat apabila setiap produk kesihatan, perubatan dan kosmetik menggunakan madu lebah.
Menurutnya, bagi memenuhi permintaan madu sebelum ini, negara perlu mengimportnya dari China, New Zealand dan Australia dengan nilai mencecah RM27 juta pada 2010 dan jumlah itu dijangka melonjakkan sehingga RM50 juta pada tahun ini.
"Sebab itu, kerajaan mahu rakyat menceburi industri lebah supaya mereka dapat menikmati hasilnya yang bukan sahaja daripada madu, sebaliknya produk hiliran yang turut mendapat permintaan tinggi.
"Untuk menarik minat rakyat, kementerian akan menyediakan satu pakej khas yang terdiri daripada latihan, pinjaman, sumbangan peralatan dan pemasaran produk di dalam dan luar nagara," katanya selepas merasmikan Hari Ladang Lebah di Pusat Pertanian Parit Botak, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed dan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Mustafa Kamal Baharuddin.
Ismail Sabri berkata, pihaknya juga akan melakukan perbincangan dengan Agro Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk menyediakan pinjaman kepada usahawan lebah yang baharu.
Beliau memberitahu, bagi melahirkan usahawan baharu itu, Jabatan Pertanian ditugaskan untuk menyemai minat masyarakat terhadap bidang berkenaan.
"Jabatan Pertanian akan membuat kajian tentang minat usahawan baharu. Malah, mereka juga perlu membuat tinjauan bagi memperbesarkan lagi industri yang dijalankan usahawan sedia ada.
"Pada masa akan datang, kementerian akan menghantar pegawai Jabatan Pertanian untuk mengikuti kursus di negara pengeksport madu lebah supaya kita juga mahir dalam industri tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130628/dn_08/Rakyat-disaran-rebut-peluang-industri-lebah---Ismail-Sabri#ixzz2Yw4mEct9
© Utusan Melayu (M) Bhd